Wednesday, January 25, 2017

Minat Membaca


Teks:  Hawa Rosli


Saya suka membaca.  Mak beritahu sejak dari kecil lagi kalau saya terjumpa suratkhabar atau buku, pasti saya akan ralit membaca walaupun ketika itu saya belum pandai membaca.  Sehingga sekarang saya memang tidak dapat menahan diri setiap kali ke kedai buku.

Genre buku yang saya baca sudah pasti bukan buku pelajaran yang amat membosankan.  Saya baca sebab terpaksa untuk hadapi peperiksaan.  Dari segi pelajaran, saya lebih suka dengan angka.  Mata pelajaran yang saya paling suka ialah Matematik, Prinsip Akaun dan semua yang berkaitan dengan angka.

Mata pelajaran paling saya tidak minat pula ialah yang perlu dibaca seperti Sejarah, Pengurusan, Audit dan yang membaca.  Saya pernah terhempap buku tebal Audit ke muka semasa belajar di ITM dahulu.  Saya terlelap ketika membaca buku tebal tersebut lalu jatuh keatas muka saya.  Aduh! bayangkan buku setebal 4 inci dan besar pula 😒

Dari segi buku cerita, dahulu saya selalu pinjam novel-novel cinta dari kedai buku dan kawan-kawan.  Tak kira buku bahasa Melayu atau Inggeris.  Ada tempat-tempat yang menyewakan novel-novel ini.  Saya pernah menyewa novel di Pasar Seni, Kompleks Kotaraya dan di Ampang Point.  Saya tak pasti masih ada lagi atau tidak kedai-kedai tersebut.

Satu lagi genre yang saya minat, ialah thriller tapi hanya dari penulis Ramlee Awang Murshid.  Cerita yang dituliskan unik dan tidak dapat ditafsirkan plot-plot berikutnya.  Segalanya misteri dan tidak terjangkau fikiran untuk ditafsirkan kesudahan ceritanya.

Selain dari itu, saya membaca buku-buku ilmiah dan motivasi sebagai menambah ilmu pengetahuan.  Tahun 2017 saya nak membaca sebanyak yang boleh.  Juga cuba konsisten mengaji dan khatam seberapa banyak yang boleh.

Saya pernah menjual buku di internet juga.  Alhamdulillah, mendapat sambutan hangat dan ada juga yang memborong buku yang saya jual.  Pada masa ini, saya meninjau-ninjau buku yang bagus yang boleh saya jual di internet.

Membaca itu Jambatan Ilmu.  Marilah kita memupuk minat membaca sekeluarga.



No comments:

Post a Comment